1.
Menimbulkan
Interaksi Komunikatif
Salah
satu tujuan wacana adalah untuk menimbulkan interaksi komunikatif. Hal ini
bermakna, sesebuah wacana yang dihasilkan adalah bertujuan mewujudkan komunikasi
antara penutur dengan pendengar selain komunikasi antara penulis dengan pembaca
yang masing-masing terlibat dengan komunikasi lisan atau komunikasi tulisan.
Aspek tautan dan runtutan melibatkan tujuan
sesebuah wacana. Oleh sebab itulah, tautan dan runtutan amat penting dalam
pembentukan wacana agar sesebuah teks wacana mempunyai makna. Pemfokusan
terhadap tujuan adalah penting agar tidak menyimpang daripada makna asalnya.
Sesebuah wacana yang bermakna dapat dibentuk apabila seseorang penulis ataupun
penutur mengetahui serta memahami tujuan sesebuah wacana yang dibentuk.
Orang
yang menjadi penutur mahupun penulis seharusnya mempunyai tujuan-tujuan
tertentu dalam menghasilkan sebuah wacana. Sesebuah teks ataupun wacana yang
dibentuk akan melibatkan penulis ataupun penutur. Oleh yang demikian, mereka
seharusnya mengetahui tujuan dalam penggunaan wacana serta menentukan jenis
wacana yang hendak digunakan. Perkara ini sangat penting kerana sesebuah wacana
yang dibentuk dapat menepati tujuan sebenar wacana atau sesebuah teks yang
dibentuk.
Sesebuah
wacana yang dibentuk seharusnya mempunyai makna dan mempunyai perkaitan antara
teks yang dibentuk. Dalam konteks ini, makna merujuk kepada makna dasar dan
pragmatis. Makna dasar merujuk kepada makna yang ditanggapi tanpa mengambil
kira konteks, manakala makna pragmatis pula merujuk kepada makna sebenar yang
berpandukan konteks tertentu.
2.
Mendapatkan
sesuatu maklumat
Wacana juga bertujuan
untuk menggambarkan sebab sesuatu bentuk bahasa digunakan. Pernyataan ini
bermaksud tujuan wacana adalah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Dalam
wacana, untuk mendapatkan sesuatu
maklumat ayat tanya boleh digunakan.
Ayat
Tanya
Ayat tanya akan
digunakan oleh penutur mahupun penulis untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Hal
ini demikian kerana, ayat tanya digunakan untuk bertanyakan soalan-soalan atau perkara bagi mendapatkan kepastian atau
memperoleh maklumat. Contoh-contoh ayat tanya adalah seperti berikut:
a)
Siapakah
lelaki yang memandu kereta mewah itu?
b)
Di
manakah letaknya Menara Condong?
Berdasarkan contoh-contoh ayat yang dinyatakan di
atas, ayat tanya digunakan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Contohnya, ayat a) Siapakah lelaki yang memandu kereta mewah
itu?, penutur atau penulis menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan
maklumat mengenai orang yang memandu kereta mewah itu.
Bagi ayat b)
Di manakah letaknya Menara Condong?, penutur atau penulis menggunakan ayat
tanya untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat letaknya Menara Condong.
Berdasarkan keterangan yang telah dijelaskan,
dapatlah diketahui bahawa penutur ataupun penulis akan menggunakan ayat tanya
untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara. Hal ini disebabkan ayat
tanya sangat sesuai digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu maklumat.
3.
Menyampaikan
maklumat
Wacana juga bertujuan
untuk menyampaikan maklumat. Penutur atau penulis akan menggunakan ayat penyata
untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Hal ini disebabkan sesebuah teks mahupun
wacana yang dibentuk melibatkan ayat penyata untuk menyampaikan sesuatu
maklumat.
Ayat
Penyata
Ayat penyata merupakan
ayat yang diucap menggunakan maksud membuat satu pernyataan serta mempunyai
tujuan untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu perkara.
Contohnya seperti ayat berikut:
a)
Kerani
itu murah dengan senyuman.
b)
Zaza
membeli buku rujukan di kedai itu.
Berdasarkan contoh-contoh ayat berikut, penulis atau
penutur akan menggunakan ayat penyata untuk memaklumkan ataupun menyampaikan
maklumat.
Contohnya ayat a)
Kerani itu murah dengan senyuman. Ayat tersebut diujarkan oleh penutur atau
penulis untuk menyampaikan maklumat bahawa kerani itu tidak lokek dengan
senyuman.
Bagi ayat b) Zaza
membeli buku rujukan di kedai itu. Penulis atau penutur menggunakan ayat
penyata untuk menyatakan tempat Zaza membeli buku rujukan kepada pembaca atau
pendengar.
Kesimpulanya, penulis atau penutur akan menggunakan
ayat penyata apabila tujuannya untuk membentuk sesebuah wacana dalam
menyampaikan sesuatu maklumat. Oleh yang demikian, ayat penyatalah yang paling
sesuai dalam menyampaikan maklumat dan mudah difahami oleh pembaca mahupun
pendengar.
4.
Menjadikan
Sesuatu Tindakan Berlaku
Menjadikan sesuatu
tindakan berlaku juga merupakan salah satu tujuan wacana. Ayat perintah akan
digunakan oleh penutur atau penulis untuk tujuan menjadikan sesuatu tindakan
itu berlaku.
Ayat
Perintah
Ayat perintah merupakan
ayat yang digunakan untuk tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah terdiri
daripada beberapa kategori, iaitu terdiri daripada ayat suruhan, ayat larangan,
ayat silaan dan juga ayat permintaan. Contoh-contoh ayat adalah seperti
berikut:
a)
Keluar
dari kedai ini! (ayat suruhan)
b)
Jangan
buat bising. (ayat larangan)
Ayat a) Keluar
dari kedai ini! merupakan ayat suruhan, iaitu mengkehendaki pembaca atau
pendengar mengambil tindakan untuk keluar dari kedai itu dengan segera.
Dalam ayat b)
Jangan buat bising, pula merupakan ayat larangan yang melarang pembaca atau
pendengar daripada berbuat bising kerana mungkin mengganggu.
Daripada contoh-contoh ayat tersebut memperlihatkan
penutur atau penulis menggunakan ayat perintah dalam sesebuah teks atau wacana
yang terdiri daripada ayat suruhan dan ayat larangan untuk tujuan menjadikan
sesuatu tindakan itu berlaku.
5.
Memerikan
Teks
Menurut Henry Guntur
Tarigan dalam Pengajaran Bahasa (1995:77), tujuan wacana juga adalah untuk
memerikan teks serta berupaya untuk menjadikan teori wacana sebagai pegangan
umum.
Memerikan teks memudahkan penutur atau penulis memahami
serta memanfaatkan teks atau kelompok teks. Hal ini bermaksud penutur atau
penulis dapat memerikan teks apabila bertujuan untuk menghasilkan sesebuah
wacana berdasarkan idea topiknya.
Memerikan
teks dalam sesebuah wacana juga bertujuan untuk memudahkan penulis membuat
perbandingan antara teks-teks ataupun bahagian-bahagian teks selain memudahkan
penulis melihat persamaan dan juga perbezaan yang terdapat dalam sesebuah
wacana. Hal ini bermaksud seseorang penulis juga dapat menunjukkan dengan tepat
dan pasti mengenai sesuatu yang menjadi ciri khas sesebuah teks tersebut dengan
intuisi-intuisi dalam sastera sekiranya seseorang penulis tersebut memerikan
sesebuah teks.
Mohd
Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012). Tatabahasa wacana.
Tanjong Malim: Emeritus Publications.