Menurut Henry Guntur Tarigan, wacana adalah satuan bahasa yang terlengkap dan tertinggi atau terbesar diatas kalimat atau klausa dengan koherensi dan kohesi tinggi yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan secara lisan atau tertulis. Setiap ayat, cerita, dialog mahupun buku perlu mempunyai awal dan akhir, iaitu dimulai dengan kesenyapan bunyi dan disudahi dengan kesenyapan. Terdapat pelbagai ciri wacana dalam sesebuah ujaran.
Ciri-ciri wacana dapat dikategorikan kepada beberapa komponen. Pertama, wacana mempunyai koheren, iaitu pertautan antara satu ayat dengan satu ayat yang lain, satu perenggan dengan satu perenggan yang lain dan satu idea dengan idea yang lain. Hal ini bermaksud bahawa dalam sesebuah penlisan, idea-idea yang dikemukakan saling berkaitan antara satu sama lain.
Komponen yang kedua ialah kohesi. Kohesi merupakan kesepaduan dalam penulisan. Dalam proses penulisan, keutuhan dan ketepatan wacana haruslah jelas dengan konteks penulisan. Sebagai contoh, penulisan akhbar atau berita harus menggunakan wacana yang bersesuaian dengan konteks berita. Seterusnya adalah tujuan dalam penggunaan wacana. Jika hendak menggunakan wacana, seseorang penulis harus mempunyai tujuan untuk menentukan jenis wacana yang hendak digunakan.
Komponen yang ketiga ialah maklumat. Dalam setiap ayat harus mempunyai maklumat yang baharu dan berpautan antara satu sama lain. Sesebuah wacana harus diterima oleh khalayak. Hal ini bermaksud bahawa penerimaan pembaca dan pendengar adalah tinggi dan mudah difahami apabila penggunaan wacana bersesuaian dan mempunyai tujuan yang sama.
Ciri wacana yang seterusnya ialah andaian dan inferens. Inferens akan memberikan maklumat baharu kepada andaian yang akan dinyatakan dalam ayat seterusnya. Gaya juga merupakan sebahagian daripada ciri-ciri wacana. Gaya merujuk kepada gaya bahasa, sama ada rasmi atau tidak rasmi dan bersahaja ataupun tidak bersahaja. Gaya akan mempengaruhi pemilihan laras bahasa, ayat dan penggunaan tatabahasa.
Komponen terakhir dalam ciri-ciri wacana memasukkan maklumat yang tidak berlawanan dengan logik akal, selain tidak bertentangan antara maklumat dengan ayat sebelumnya.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan