Khamis, 21 April 2016

TAUTAN


Dalam komunikasi seharian, sudah tentu penutur sentiasa mengungkapkan sesuatu melebihi batas ayat. Batas ayat ini merujuk kepada wacana yang telah kita ujarkan. Dalam ujaran kita, kita secara tidak sedar telah mentautkan ayat yang sebelumnya dengan ayat yang selepasnya. Pertautan ini disebut sebagai tautan dalam wacana.
Pike dan pike mendefinisikan tautan sebagai fitur sesuatu tagmen yang menentukan cara bagaimana tagmen itu menguasai atau dikuasai oleh tagmen lain. Gutwinksi pula tidak melihat tautan sebagai fitur tetapi sebagai hubungan yang terdapat dalam ayat dan klausa dalam sesuatu teks.
Makna Tautan Menurut Sanad Md. Nasir (2002) "Keserasian hubungan antara unsur linguistik dengan unsur linguistik yang lain dalam sesebuah wacana. Keserasian ditinjau daripada hubungan antara sesuatu perkataan, frasa atau ayat dengan sesuatu perkataan dalam wacana tersebut".
Kesimpulan yang dibuat oleh Sanat Md. Nasir (2002) mengenai konsep tautan ialah fungsi tautan dapat dirumuskan sebagai hubungan satu ikatan yang apik dan bermakna.  Konsep cakupan tautan ini merujuk kepada hubungan unsur linguistik di dalam sesuatu teks, sama ada di peringkat dalam ayat atau antara ayat, dan hubungan ini boleh sahaja bersifat formal atau semantik dengan fungsinya. Ditegaskan bahawa unsur linguistik yang berhubungan itu berada dalam unit teks yang berlainan.
Model Tautan Pindaan Sanat Md. Nasir (2002) menggunakan perkataan ‘pindaan’ dengan maksud pada asalnya ialah Model Halliday dan Hasan (1976), tetapi telah mengalami penyusunan semula, tambahan dan penekanan aspek tertentu dalam kajian tautan aliran sistemik (systemic theory). Sanat Md. Nasir (2002) membahagikan tautan kepada tiga jenis utama, iaitu tautan perulangan, tautan kolokasi, dan tautan penghubung ayat.





Tautan Kolokasi Antoniman
Tautan Kolokasi
Tautan Kolokasi Kohiponiman

Tautan Kolokasi Hasil

Tautan Kolokasi Sifat
Model Tautan Pindaan Sanat Md. Nasir (2002): Tautan Kolokasi

Tautan bermaksud keserasian hubungan antara satu unsur linguistik dengan satu unsur linguistik yang lain dalam sesuatu wacana untuk menghasilkan wacana yang lengkap. Selain itu, tautan bermaksud kesepaduan dalam penulisan. Keserasian hubungan ini lazimnya dilihat melalui hubungan antara suatu perkataan, frasa atau ayat, dengan perkataan, frasa atau ayat lain dalam wacana yang sama. Dengan kata lain, wujudlah pertalian antara ayat dengan ayat, perenggan dengan perenggan lain dan isi dengan isi. Tautan dapat mewujudkan kesinambungan antara sebahagian teks dengan sebahagian teks yang lain sehingga membentuk satu kesatuan.
Tautan juga merujuk kepada idea atau esei yang dijalinkan rapi hingga menjadi bersepadu. Selain itu, tautan juga disebut sebagai organisasi sintaktik yang mana merupakan wadah ayat-ayat yang disusun secara padu dan padat. Perkara ini bermaksud kohesi adalah hubungan diantara ayat dalam sebuah wacana tidak kira sama ada dari segi strata gramatikal mahupun strata leksikal tertentu. Maksud ciri tautan atau kehesi ini juga ada dinyatakan oleh Halliday dan Hasan.
 Mereka melihat tautan makna itu dari dua sudut, iaitu tautan nahu dan tautan leksikal. Kedua-dua nahuan ini wujud dalam sesuatu kesatuan teks. Selain itu, tautan juga memperlihatkan jalinan ujaran dalam bentuk ayat bagi membentuk suatu teks atau konteks dengan menghubungkan makna yang terkandung di dalam unsur. Hal ini dikukuhkan lagi denan pernyataan seperti berikut;
“Tautan merupakan satu set kemungkinan yang wujud dalam bahasa untuk menjadikan suatu       teks itu berkesatuan”
(Halliday dan Hasan: 1976)

      1.2 Kolokasi
Menurut buku Tatabahasa Wacana (2012), Kolokasi dapat dilihat melalui dua sudut, iaitu sudut sintaksis dan sudut semantik.
 Sudut sintaksis misalnya:
Ketika itu nama Brunei dikenali sebagai Puni kerana ibu kotanya yang bernama Puni. Padazaman Sultan Muhyiddin, iaitu Sultan Brunei yang ke-XIV baharulah kerajaan Brunei itudipindahkan ke tempat yang ada sekarang.
 
Manakala sudut semantik pula contohnya:
Kerajaan berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan perhubungan di tanah air kita, iaitu perhubungan darat, laut dan udara. Dalam bidang perhubungan darat telah digalakkan permanfaatan kereta api dan kereta bermotor. Kenderaan ini meliputi kereta, motosikal dan lain.

Sering kali kata-kata dalam medan makna kolokasi dari sudut semantik berkolokasi dengan golongan kata lain. Kolokasi dalam bahasa Latin ‘colloco’ yang membawa bermaksud ‘tempat yang sama dengan’ yang mempunyai hubungan sintagmatik antara kata-kata atau unsur-unsur leksikal itu. Kolokasi dalam semantic merupakan hubung kait sesuatu butir leksikal dengan butir-butir leksikal lain di sekitarnya. Menurut Kamus Dewan edisi keempat (2007), kolokasi bermaksud hubungan kedudukan atau kewujudan antara satu perkataan dengan yang lain dalam satu susunan misalnya dalam ayat. Firth (1951) dalam Noorliza Jamaludin (2004) mendefinisikan kolokasi sebagai “the company words keep”, iaitu hubungan antara satu kata dengan kata yang lain. Oleh itu, perkara yang dalam kolokasi ialah hubungan atau kombinasi kata yang tipikal yang benar-benar wujud dalam sesuatu bahasa.
Leech (1974) dalam Abdullah Yusof (2008) pula menyatakan bahawa kolokasi biasanya berhubungan dengan penggunaan beberapa kata dalam lingkungan yang sama. Contohnya jika seseorang berkata melur, cempaka, kenanga, raya, anggerik, kata-kata ini berhubungan dengan lingkungan kata bunga.

2.0 Jenis Tautan Kolokasi
Tautan kolokasi tidak melibatkan unsur linguistiknya berulang bentuk dan makna. Tautan jenis ini merujuk kepada konteksnya, iaitu kehadirannya sesuatu linguistik dengan yang lain antara dua unit teks. Kehadiran ini melibatkan domain makna. Dengan berdasarkan domain makna inilah kehadiran unsur linguistic yang terlibat diperincikan kepada empat jenis, iaitu:
Contoh yang diberikan dibawah terbahagi kepada dua jenis iaitu jenis tautan kolokasi yang terdapat dalam 1 ayat sahaja dan jenis tautan kolokasi yang bertautan dalam 2 atau lebih ayat.
  1. Tautan Kolokasi Antonomi
Tautan ini menunjukkan kehadiran unsur tautan yang bercirikan makna yang berlawanan.
Contohnya:
‘Ketua kampung mempunyai anak gadis yang cantik tetapi mempunyai perangai yang buruk’.

Unsur ‘cantik’ dalam ayat diatas bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘buruk’. Unsur tersebut menunjukkan hubungan makna yang bertentangan.
Contoh lain seperti:
A
Industri perindustrian tempatan masa kini semakin diperakui di peringkat antarabangsa.
B
Berbanding pada masa dahulu industri ini kurang mendapat tempat

            Unsur ‘dahulu’ dalam ayat B dikatakan bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘kini’ dalam ayat A. Unsur tersebut merupakan unsur linguistik pada peringkat kata yang menunjukkan hubungan makna yang bertentangan.
  
  1. Tautan Kolokasi Kohiponiman
Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna unsur pada peringkat superodinat dengan ordinatnya atau antara hiponiman atau termasuk meronimi, yakni hubungan unsur yang sebahagian dengan unsur yang menyeluruh atau antara unsur sebahagian daripada entiti yang menyeluruh.
Contohnya:
Sekolah merupakan entiti menyeluruh (superordinat) manakala bilik darjah, guru, pelajar, ujian, dan buku latihan ialah unsur sebahagian (ordinat).

Unsur ‘menyeluruh’ bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘sebahagian’. Hubungan antara unsur ini bertautan secara hiponim iaitu unsur yang sebahagian dengan unsur yang menyeluruh.
Contoh lain seperti:
A
Program tuisyen mata pelajaran utama bertujuan untuk membantu pelajar mempersiapkan diri untuk menghadapi peperiksaan.
B
Pelajar yang lemah dalam Bahasa Melayu, Matematik Sains dan Bahasa Inggeris disarankan untuk menghadiri tuisyen itu secara percuma.

            Unsur dalam ayat B yang terdiri daripada kata dan frasa, iatu ‘Bahasa Melayu’ ‘Bahasa Inggeris’, ‘Matematik’, ‘Sains’ dikatakan bertautan secara kolokasi dengan frasa ‘mata pelajaran utama’ dalam ayat A. Tautan ini melibatkan hubungan makna hiponim, iaitu antara superodinat dengan ordinatnya.


  1. Tautan Kolokasi Hasil
Tautan ini melibatkan kehadiran hubungan makna unsur tautan yang satu menghasilkan yang lain atau unsur yang dihasilkan oleh sesuatu entiti semantik.
Contohnya:
... perintah berkurung ... dengan... bahawa kekacauan di Pulau Pinang itu...

            Unsur ‘perintah berkurung’ bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘kekacauan’ dalam ayat diatas. Secara mudahnya’ ‘kekacauan’ menghasilkan ‘perintah berkurung’.
Contoh lain seperti:
A
Kanak-kanak berusia lima tahun nyaris putus tiga jari tangan kanan apabila mercun bola yang dipasangkan meletup secara tiba-tiba.
B
Kejadian berlaku kerana ada ibu bapa yang berpendapat bahawa permainan bunga api dan mercun merupakan satu kemestian pada setiap kali perayaan

Dalam ayat B, unsur ‘ibu bapa’ yang terdiri daripada frasa juga bertaut secara kolokasi dengan ‘kanak-kanak’ dalam ayat A yang juga terdiri daripada frasa. Tautan ini juga melibatkan hubungan makna hasil antara entiti, tetapi untuk maksud yang sebaliknya, iaitu yang dihasilkan (kanak-kanak) mendahului yang menghasilkan (ibu bapa). 


  1. Tautan Kolokasi Sifat
Tautan ini merujuk kepada kehadiran hubungan makna antara unsur tautan yang menjadi punca sifat dengan unsur sifat atau unsur sifat daripada entiti punca sifat.
Contohnya:
"... perintah berkurung.....telah dapat mempertenangkan..."

Unsur ‘perintah berkurung’ bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘dapat mempertenangkan’. Ini bermakna sifat bagi ‘perintah berkurung’ adalah untuk ‘dapat mempertenangkan’.

Contoh lain seperti:
A
Kempen mengharamkan sajian makanan haram bersama minuman halal yang lain kepada pengunjung Muslim telah diadakan secara besar-besaran di Negara itu.
B
Pihak hotel perlu peka bahawa Islam melarang umatnya makan makanan yang memudaratkan bagi menjamin akhlak yang terpuji.

Dalam ayat B, unsur Islam yang terdiri daripada kata bertautan secara kolokasi dengan unsur ‘mengharamkan sajian makanan’ dalam ayat A yang terdiri daripada frasa. Tautan ini melibatkan kehadiran kata yang berlainan mewujudkan hubungan makna sifat, iaitu antara entiti dengan sifatnya. Dalam contoh ini, entiti (Islam) didahului oleh sifatnya (mengharamkan sajian makanan haram) 


3.0 Kesimpulan
Kesimpulannya, Tautan terbahagi kepda 3 jenis iaitu Tautan perulangan, Tautan kolokasi dan Tautan penhung ayat. Manakala untuk Tautan Kolokasi pula terbahagi kepada 4 jenis iaitu tautan kolokasi antoniman, tautan kolokasi kohiponiman, tautan kolokasi hasil dan tautan kolokasi sifat.

Sebagai seorang pewacana yang baik, kita harus cuba memenuhi konsep tautan ini agar idea yang ingin disampaikan kepada orang lain dapat disampaikan dengan berkesan.

Tiada ulasan :

Catat Ulasan