Menurut
Henry Tarigan (1987) dalam buku Monograf Bahasa Melayu, wacana ditakrifkan
sebagai unit atau saluran linguistik yang tertinggi, terlengkap, terbesar dari
segi skalanya, supra ayat, tersusun rapi dengan koherensi dan kohesi tinggi
yang berkesinambungan yang mempunyai awal dan akhir yang nyata disampaikan
secara lisan dan yang berada pada peringkat tertinggi bahasa dan mempunyai
talian awal dan akhir.
Harimurti
Kridalaksana (1987:507) mendefinisikan wacana sebagai satuan bahasa terlengkap
dalam hirarki gramatikal yang tertinggi dan terbesar. Ia direalisasikan dalam
bentuk karangan yang utuh seperti novel, buku, siri kalimat, paragraf dan kata
yang lengkap. Harimurti telah menggambarkan wacana sebagai kesatuan bahasa yang
dapat membentuk karangan yang mengandungi idea atau pemikiran penutur atau
penulis.
Asmah
Haji Omar (1980:11) pula menggambarkan wacana adalah sebagai unit bahasa yang
melebihi batas ayat. Dengan itu, wacana boleh terdiri daripada ayat, sejumlah
ayat, ceraian bab, buku, siri dan sebagainya. Ia juga memperlihatkan kesatuan
dan hubungan antara butir-butir fikiran dan perkembangan akaliah yang ada di
dalamnya. Dapat disimpulkan, kesatuan pemikiran dalam sesuatu ujaran merupakan
perkara yang sangat dititikberatkan oleh Asmah Haji Omar dalam sesebuah wacana.
Raminah
Haji Sabran (1987:28) pula menyatakan bahawa wacana ialah unit bahasa yang
melebihi batas ayat dan ia boleh terdiri daripada ayat, ceraian, bab, buku,
cerita, dialog, siri buku dan sebagainya.
Sanat
Md Nasir (1986) menyatakan bahawa wacana merujuk kepada teks, iaitu unit bahasa
yang melebihi unit teks. Unit teks boleh berdiri sebagai satua ayat baik secara
fonik atau grafik. Menurut beliau lagi, wacana juga bermakna bidang kajian
terhadap unit bahasa, menyamai maksud analisis wacana, analisis teks, linguistik
teks, atau linguistik wacana. Menurut beliau lagi, wacana dapat dilihat dalam
konteks yang lebih luas, iaitu bukan dilihat dalam aspek linguistiknya tetapi
turut dikaitkan dengan keperluan mentauhidkan Allah Yang Maha Esa. Konsep yang
dikemukan oleh Sanat Md Nasir ini juga boleh dikenali sebagai wacana plus, di
mana beliau berpendapat bahawa bahasa ialah anugerah Allah SWT yang sewajarnya
dikaji melalui aqli dan juga naqli.
Menurut
Darjowidjojo (dalam Hartono, 2000:142), dalam komunikasi verbal, baik yang
monolog, mahupun yang dialog, salah satu syarat penting yang harus diperhatikan
adalah kesinambungan proposisi yang diajukan. Kodrat, kesinambungan dalam
monolog berbeza dengan kodrat yang ada pada dialog kerana dalam monolog si
pembaca atau penulis tidak perlu memperhatikan tanggapan verbal yang dinyatakan
oleh pembicara atau lawan bicaranya.
Berdasarkan
pentakrifan daripada pelbagai tokoh bahasa ini, dapat dirumuskan bahawa wacana
ialah unit tatabahasa atau linguistik yang melangkaui batas ayat.
Mohd
Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012).
Tatabahasa wacana.
Tanjong Malim: Emeritus Publications.
Tiada ulasan :
Catat Ulasan