Jumaat, 22 April 2016

Tujuan Wacana



1.      Menimbulkan Interaksi Komunikatif
Salah satu tujuan wacana adalah untuk menimbulkan interaksi komunikatif. Hal ini bermakna, sesebuah wacana yang dihasilkan adalah bertujuan mewujudkan komunikasi antara penutur dengan pendengar selain komunikasi antara penulis dengan pembaca yang masing-masing terlibat dengan komunikasi lisan atau komunikasi tulisan.
 Aspek tautan dan runtutan melibatkan tujuan sesebuah wacana. Oleh sebab itulah, tautan dan runtutan amat penting dalam pembentukan wacana agar sesebuah teks wacana mempunyai makna. Pemfokusan terhadap tujuan adalah penting agar tidak menyimpang daripada makna asalnya. Sesebuah wacana yang bermakna dapat dibentuk apabila seseorang penulis ataupun penutur mengetahui serta memahami tujuan sesebuah wacana yang dibentuk.
Orang yang menjadi penutur mahupun penulis seharusnya mempunyai tujuan-tujuan tertentu dalam menghasilkan sebuah wacana. Sesebuah teks ataupun wacana yang dibentuk akan melibatkan penulis ataupun penutur. Oleh yang demikian, mereka seharusnya mengetahui tujuan dalam penggunaan wacana serta menentukan jenis wacana yang hendak digunakan. Perkara ini sangat penting kerana sesebuah wacana yang dibentuk dapat menepati tujuan sebenar wacana atau sesebuah teks yang dibentuk.
Sesebuah wacana yang dibentuk seharusnya mempunyai makna dan mempunyai perkaitan antara teks yang dibentuk. Dalam konteks ini, makna merujuk kepada makna dasar dan pragmatis. Makna dasar merujuk kepada makna yang ditanggapi tanpa mengambil kira konteks, manakala makna pragmatis pula merujuk kepada makna sebenar yang berpandukan konteks tertentu.

2.      Mendapatkan sesuatu maklumat
Wacana juga bertujuan untuk menggambarkan sebab sesuatu bentuk bahasa digunakan. Pernyataan ini bermaksud tujuan wacana adalah untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Dalam wacana, untuk  mendapatkan sesuatu maklumat ayat tanya boleh digunakan.

Ayat Tanya
Ayat tanya akan digunakan oleh penutur mahupun penulis untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Hal ini demikian kerana, ayat tanya digunakan untuk bertanyakan soalan-soalan  atau perkara bagi mendapatkan kepastian atau memperoleh maklumat. Contoh-contoh ayat tanya adalah seperti berikut:

a)      Siapakah lelaki yang memandu kereta mewah itu?
b)      Di manakah letaknya Menara Condong?
Berdasarkan contoh-contoh ayat yang dinyatakan di atas, ayat tanya digunakan untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Contohnya, ayat a) Siapakah lelaki yang memandu kereta mewah itu?, penutur atau penulis menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat mengenai orang yang memandu kereta mewah itu.
Bagi ayat b) Di manakah letaknya Menara Condong?, penutur atau penulis menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat mengenai tempat letaknya Menara Condong.
Berdasarkan keterangan yang telah dijelaskan, dapatlah diketahui bahawa penutur ataupun penulis akan menggunakan ayat tanya untuk mendapatkan maklumat tentang sesuatu perkara. Hal ini disebabkan ayat tanya sangat sesuai digunakan untuk tujuan mendapatkan sesuatu maklumat.

3.      Menyampaikan maklumat
Wacana juga bertujuan untuk menyampaikan maklumat. Penutur atau penulis akan menggunakan ayat penyata untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Hal ini disebabkan sesebuah teks mahupun wacana yang dibentuk melibatkan ayat penyata untuk menyampaikan sesuatu maklumat.

Ayat Penyata
Ayat penyata merupakan ayat yang diucap menggunakan maksud membuat satu pernyataan serta mempunyai tujuan untuk menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu perkara. Contohnya seperti ayat berikut:

a)      Kerani itu murah dengan senyuman.
b)      Zaza membeli buku rujukan di kedai itu.
Berdasarkan contoh-contoh ayat berikut, penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata untuk memaklumkan ataupun menyampaikan maklumat.
Contohnya ayat a) Kerani itu murah dengan senyuman. Ayat tersebut diujarkan oleh penutur atau penulis untuk menyampaikan maklumat bahawa kerani itu tidak lokek dengan senyuman.
Bagi ayat b) Zaza membeli buku rujukan di kedai itu. Penulis atau penutur menggunakan ayat penyata untuk menyatakan tempat Zaza membeli buku rujukan kepada pembaca atau pendengar.
Kesimpulanya, penulis atau penutur akan menggunakan ayat penyata apabila tujuannya untuk membentuk sesebuah wacana dalam menyampaikan sesuatu maklumat. Oleh yang demikian, ayat penyatalah yang paling sesuai dalam menyampaikan maklumat dan mudah difahami oleh pembaca mahupun pendengar.

4.      Menjadikan Sesuatu Tindakan Berlaku
Menjadikan sesuatu tindakan berlaku juga merupakan salah satu tujuan wacana. Ayat perintah akan digunakan oleh penutur atau penulis untuk tujuan menjadikan sesuatu tindakan itu berlaku.

Ayat Perintah
Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk tujuan menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat perintah terdiri daripada beberapa kategori, iaitu terdiri daripada ayat suruhan, ayat larangan, ayat silaan dan juga ayat permintaan. Contoh-contoh ayat adalah seperti berikut:

a)      Keluar dari kedai ini! (ayat suruhan)
b)      Jangan buat bising. (ayat larangan)
Ayat a) Keluar dari kedai ini! merupakan ayat suruhan, iaitu mengkehendaki pembaca atau pendengar mengambil tindakan untuk keluar dari kedai itu dengan segera.
Dalam ayat b) Jangan buat bising, pula merupakan ayat larangan yang melarang pembaca atau pendengar daripada berbuat bising kerana mungkin mengganggu.
Daripada contoh-contoh ayat tersebut memperlihatkan penutur atau penulis menggunakan ayat perintah dalam sesebuah teks atau wacana yang terdiri daripada ayat suruhan dan ayat larangan untuk tujuan menjadikan sesuatu tindakan itu berlaku.

5.      Memerikan Teks
Menurut Henry Guntur Tarigan dalam Pengajaran Bahasa (1995:77), tujuan wacana juga adalah untuk memerikan teks serta berupaya untuk menjadikan teori wacana sebagai pegangan umum.
           Memerikan teks memudahkan penutur atau penulis memahami serta memanfaatkan teks atau kelompok teks. Hal ini bermaksud penutur atau penulis dapat memerikan teks apabila bertujuan untuk menghasilkan sesebuah wacana berdasarkan idea topiknya.

           Memerikan teks dalam sesebuah wacana juga bertujuan untuk memudahkan penulis membuat perbandingan antara teks-teks ataupun bahagian-bahagian teks selain memudahkan penulis melihat persamaan dan juga perbezaan yang terdapat dalam sesebuah wacana. Hal ini bermaksud seseorang penulis juga dapat menunjukkan dengan tepat dan pasti mengenai sesuatu yang menjadi ciri khas sesebuah teks tersebut dengan intuisi-intuisi dalam sastera sekiranya seseorang penulis tersebut memerikan sesebuah teks.


Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob (2012).   Tatabahasa wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publications.

1 ulasan :

  1. Casino & Gaming (formerly Caesars Entertainment) | Dr. Maryland
    The Caesars 영천 출장안마 Entertainment Group was founded in 1994 by 포항 출장샵 the legendary Michael 광명 출장안마 Jordan in the late 80s and quickly 구미 출장마사지 evolved into 아산 출장샵 a full-service casino,

    BalasPadam